MyCoopMed

Penyakit Tangan, Kaki & Mulut (HFMD – Hand, Foot & Mouth Disease)

Facebook
Telegram
WhatsApp

Baru-baru ini, kita digemparkan dengan laporan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia yang menyatakan kes untuk penyakit tangan, kaki dan mulut atau hand, foot and mouth disease (HFMD) mencatat rekod tertinggi iaitu sebanyak 31,661 kes. Jumlah tersebut adalah lima belas kali ganda lebih besar berbanding jumlah pada tahun lalu, iaitu sekadar 2,121 kes. Ini semestinya menimbulkan kerisauan kepada orang ramai kerana keadaan semakin terlihat seperti wabak berbanding musim demam yang biasa kita harungi. Apatah lagi dengan ‘trauma’ yang kita alami selepas pandemik COVID-19 terjadi, keadaan semestinya merunsingkan banyak pihak. 

Anda mungkin akan lebih runsing dengan keadaan semasa sekiranya anda adalah seorang ibu atau bapa kepada anak yang masih kecil. HFMD adalah penyakit yang lebih kerap menyerang kanak-kanak di bawah umur 5 tahun dan perlu pemerhatian pakar sekiranya pesakit tersebut berumur bawah dari 6 bulan. Segala gejala HFMD lebih kepada simptom-simptom ringan seperti ruam pada tangan dan kaki serta ulser pada mulut, tekak dan lidah. Simptom lain turut melibatkan demam, sakit tekak dan hilang selera makan yang mungkin muncul terlebih dahulu sebelum simptom-simptom utama. Anda boleh menganggapnya sebagai ‘tanda-tanda awal’ supaya anda dapat menghantar anak anda untuk menerima rawatan awal. 

HFMD terjadi disebabkan virus daripada kumpulan enterovirus, membuatkan ia tidak dapat diubati dengan antibiotik. Seperti perkara umum yang kita fahami mengenai virus, ianya cepat merebak dan ia boleh menjangkiti seseorang menerusi sentuhan, terutamanya jika sesebuah barang telah disentuh oleh seseorang yang telah dijangkiti dengan HFMD. Menerusi air liur, hingus dan najis daripada pesakit yang telah dijangkiti yang mungkin tercalit pada barang-barang, mana-mana kanak-kanak sangat berisiko untuk menjadi mangsa seterusnya. Oleh itu, penjagaan kebersihan terhadap barang-barang yang mungkin disentuh oleh kanak-kanak adalah sangat penting bagi mengelakkan penyakit ini. 

Perihal kebersihan adalah sesuatu yang perlu diambil berat oleh pemilik taska dan tadika kerana HFMD sering terjadi di tempat-tempat yang dipenuhi kanak-kanak. Mulakan dengan memastikan alat permainan yang disediakan telah disanitasi serta pastikan pembuangan lampin yang dicemari dengan najis dibuang dengan betul.Ibu bapa juga perlu memainkan peranan dalam hal ini sekiranya anda menghantar anak anda ke taska atau tadika. Pastikan anda melaporkan keadaan anak anda kepada pemilik premis taska atau tadika tersebut kerana HFMD mempunyai kadar jangkitan sebanyak 100 peratus. Anda juga perlu mengelakkan daripada menghantar anak yang dijangkiti HFMD ke sebarang pusat jagaan yang dipenuhi kanak-kanak lain bagi mengelak sebarang penyebaran. Sepertimana COVID-19, ini boleh dikira sebagai tempoh isolasi kepada anak anda dengan pengurusan yang kurang ketat berbanding COVID-19.

Ibu bapa tidak mempunyai masalah untuk berinteraksi dengan anak yang dijangkiti dengan HFMD bagi memastikan kesembuhannya. Ianya lebih mudah berjangkit dalam kalangan kanak-kanak, tetapi kurang terjadi dalam kalangan dewasa. Disebabkan itu, ibu bapa perlu memainkan peranan yang besar dalam memastikan keadaan anak anda tidak menjadi lebih teruk. Simptom HFMD mungkin kelihatan ringan tetapi jika diambil mudah, dapat menimbulkan isu yang lebih teruk. Sepertimana penjaga di pusat jagaan diarahkan untuk menjaga kebersihan premis, perkara itu turut terpakai kepada para ibu bapa sepanjang tempoh anak anda sedang diasingkan daripada kumpulan kanak-kanak lain.

Kanak-kanak yang dijangkiti HFMD mungkin akan hilang selera makan, dan ia akan menjejaskan kadar jumlah nutrien yang mereka perlukan untuk membesar dengan sihat. Ibu bapa perlu galakkan anak untuk terus makan meskipun tiada selera dan ia bergantung pada simptom yang mereka alami. Sekiranya mereka tiada selera makan kerana ulser di mulut dan tekak, pastikan anda memberikan mereka makanan yang lembut iaitu yang mudah untuk ditelan. Galakkan juga mereka untuk meminum air suam atau jus, namun elakkan jus yang mempunyai kandungan asid yang tinggi seperti jus oren kerana ia mungkin akan memberi kesan kepada ulser di mulut. Sekiranya anak anda berusia setahun ke bawah, anda boleh teruskan dengan diet yang biasa sama ada susu badan atau susu formula.

Bagi menyembuh simptom lain seperti sakit tekak, ianya berbeza mengikut peringkat umur. Untuk kanak-kanak yang baru sahaja melepasi umur setahun, berikan mereka makanan-makanan berbentuk cecair seperti sup dan kerap memberi mereka minum air suam. Untuk 4 tahun ke atas, mereka sudah boleh memakan ubat seperti lozen atau memberi mereka ubat yang berbentuk semburan. Pastikan lozen dan semburan yang diberikan adalah selamat untuk kanak-kanak. Bagi mereka pada peringkat umur 6 tahun ke atas, anda boleh memberikan mereka air garam untuk mereka berkumur. Lakukan perkara ini 2 hingga 3 kali sehari dan ia dapat membantu melegakan sakit tekak anak anda. 

Pada peringkat ini, mungkin ramai yang sedar bahawa HFMD tidak mempunyai sebarang ubat mahupun vaksin bagi menyembuhkannya. Apa yang boleh dilakukan oleh ibu bapa dan penjaga adalah dengan mengamalkan langkah berjaga-jaga dalam pelbagai aspek. Kebersihan kawasan sekeliling dan alat permainan adalah perlu diutamakan, di samping mengajar kanak-kanak tentang penjagaan kebersihan yang berkesan. Ajari mereka untuk batuk dan bersih pada tisu atau lengan baju mereka dan bukan dicalit pada permukaan yang bakal disentuh oleh orang lain. Juga, cegah mereka daripada memasukkan sebarang alat permainan ke dalam mulut dan menggosok mata mereka dengan tangan yang telah menyentuh permukaan yang kotor. Ibu bapa juga digalakkan untuk membekalkan perkakas makanan sendiri buat anak bagi mengelakkan mereka berkongsi perkakas dengan kanak-kanak lain. Mungkin ia kelihatan seperti anda menjarakkan anak daripada bergaul secara normal dengan kanak-kanak lain, tetapi ianya adalah aspek kebersihan yang penting agar anak anda tidak mudah dijangkiti. 

Mungkin kini makin ramai ibu bapa yang risau untuk menghantar anak ke pusat-pusat jagaan atas wabak yang melanda ini. Namun begitu, pusat-pusat jagaan yang berdaftar mempunyai piawaian kebersihan yang perlu mereka patuhi sebelum dapat beroperasi. HFMD semestinya bukanlah terjadi atas kesilapan mereka sendiri, tetapi atas keadaan dalam pusat jagaan tersebut yang membuatkan penyebaran virus tidak dapat dielakkan. Ini bermakna ibu bapa tidak boleh menuding jari dan berpendapat para pekerja di pusat jagaan gagal untuk memastikan anak mereka dalam keadaan selamat. HFMD adalah perkara yang tidak dijangka oleh sesiapa. Seandainya HFMD terjadi walaupun pusat jagaan dapat mengesahkan mereka telah mematuhi piawaian yang ditetapkan, maka HFMD boleh dikatakan terjadi atas tekanan keadaan sekeliling dan bukan kecuaian. Apa yang lebih penting apabila perkara ini terjadi adalah pastikan anak anda sembuh dan menutup pusat jagaan buat sementara waktu bagi mengurangkan kadar penyebaran.

Dapatkan Lebih Perkongsian

woman, senior, portrait-100343.jpg

Alzheimer

“Maklumlah…umur dah makin meningkat…biasalah kalau makin pelupa…,” Kita mungkin acap kali mendengar kenyataan di atas

restaurant, people, men-2602736.jpg

Memahami Food Coma

Umat Islam seluruh dunia telah meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri bermula pada 1 Mei yang

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

0
    0
    Your Cart
    Your cart is emptyReturn to Shop