MyCoopMed

Type 1 & Type 2 Diabetes

Facebook
Telegram
WhatsApp

“Anak kecil awak hidap diabetes? Ni mesti sebab awak tak jaga pemakanan dia. Jangan bagi sangat anak makan gula-gula atau jajan; sebab tu boleh kena diabetes!”

Pernyataan di atas ada benarnya; ibu bapa perlu memantau pemakanan anak-anak agar mereka dapat membesar dengan baik dan sihat. Namun, tidak dinafikan juga terdapat salah faham dalam pernyataan tersebut dari segi pemahaman umum mengenai diabetes. Ini mungkin kerana kita sering diberitahu bahawa gaya pemakanan yang tidak sihat dan kurang bersenam adalah antara punca seseorang itu berisiko menghidap diabetes. Fakta itu benar, tetapi ianya terguna pakai untuk type 2 diabetes dan bukan type 1 diabetes.

“Diabetes pun ada peringkat? Type 2 kira diabetes yang dah teruklah, ya?”

Juga bukan. Diabetes type 1 dan type 2 adalah dua jenis diabetes yang berbeza; satu adalah sejenis penyakit autoimun (autoimmune disease) sementara satu lagi terjadi atas beberapa faktor termasuk pemakanan dan usia. Untuk memahami perbezaan antara kedua-dua jenis diabetes ini, kita terlebih dahulu harus memahami bagaimana seseorang boleh menghidapi diabetes.

Diabetes terjadi apabila pankreas tidak dapat/ kurang merembeskan hormon insulin bagi membantu menukar makanan kepada tenaga dalam badan. Tubuh manusia menerima tenaga daripada makanan. Tugas insulin adalah menukarkan makanan tersebut dalam bentuk glukos (gula) sebelum diserap oleh sel badan lantas memberi tenaga. Namun, apabila hormon tersebut tiada/kurang, glukos akan kekal dalam salur darah tanpa ditukar kepada tenaga lantas menyebabkan kandungan glukos dalam darah menjadi terlalu tinggi.

Bagi penghidap type 1 diabetes, ia bersifat autoimun di mana sistem imun badan mereka sendiri yang bertindak menyerang dan memusnahkan sel-sel dalam badan. Dalam hal ini, sistem imun penghidap type 1 diabetes menyerang sel-sel dalam pankreas yang menghasilkan insulin. Disebabkan ini, pankreas mereka berhenti menghasilkan insulin secara semulajadi lantas menyebabkan kandungan gula dalam darah meningkat. Penghidap type 1 diabetes merangkumi populasi yang kecil iaitu sebanyak 0.59 peratus daripada jumlah pesakit diabetes di seluruh Malaysia tetapi mereka memerlukan suntikan insulin setiap hari untuk meneruskan hidup.

“Tapi kenapa saya nampak ada penghidap type 2 diabetes juga memerlukan suntikan insulin?”

Penghidap type 2 diabetes pada asasnya, tidak memerlukan suntikan insulin yang kerap. Ini disebabkan mereka didiagnos dengan penyakit ini akibat faktor pemakanan yang tidak terkawal ataupun pergerakan harian yang terlalu rendah. Penghidap type 2 diabetes masih boleh mengawal kandungan gula dalam darah dengan kerap bersenam dan menetapkan diet yang sesuai dengan metabolisma badan. Namun, sekiranya pesakit masih mengabaikan sebarang tindakan kawalan meskipun setelah didiagnos, kemungkinan besar pankreas akan mula gagal untuk menghasilkan hormon insulin yang cukup. Kesudahannya, mereka juga perlu menyuntik insulin ke dalam badan mereka. Namun sedikit berbeza dengan penghidap type 1 diabetes, hidup penghidap type 2 diabetes yang telah diarahkan mengambil insulin tidak bergantung sepenuhnya kepada suntikan hormon tersebut. Mereka boleh meneruskan kehidupan seperti biasa tetapi dengan mengikut jadual suntikan secara berdisiplin dan mengamalkan gaya hidup yang sihat.

“Diabetes terjadi sebab kandungan gula dalam darah tinggi. Maksudnya, tidak boleh makan makanan manis atau bergula langsung ke?”

Tidak. Badan manusia memerlukan gula untuk tenaga dan walaupun seseorang didiagnos dengan diabetes, pengambilan gula tidak boleh ditinggalkan sepenuhnya. Ramai pesakit yang membuat kesilapan ini mungkin atas dasar takut diabetes yang dihidapi akan melarat dan mereka bakal memerlukan suntikan insulin pada masa hadapan. Mereka membuang sebarang konsumsi gula dalam makanan dan minuman mereka sehingga akhirnya mereka mengalami hypoglycemia, keadaan di mana kandungan gula dalam darah menjadi lebiih rendah dari normal dan ia boleh membahayakan nyawa. Konklusinya, teruskan dengan makan makanan manis tetapi pastikan pengambilan gula dikawal dan tidak perlu mengelak daripada mengambil makanan yang bergula.

“Siapa yang berkemungkinan tinggi untuk menghidap type 1 atau type 2 diabetes?”

Secara umumnya, sesiapa sahaja. Namun untuk lebih spesifik, type 1 diabetes sering dijumpai dalam kalangan kanak-kanak atau remaja manakala type 2 diabetes sering dihidapi oleh orang dewasa dalam lingkungan 40-an. Walau bagaimanapun, tidak mustahil untuk seseorang pada usia remaja atau 20-an untuk menghidap type 2 diabetes sekiranya diabetes adalah penyakit turun-temurun dalam keluarga ataupun mereka menghidap obesiti sejak kecil. Tetapi ia lebih kerap terjadi kepada mereka yang lebih berusia kerana mengambil kira sistem imun badan mereka semakin menurun, memudahkan mereka untuk menghidap pelbagai jenis penyakit.

“Adakah cara untuk mengelak daripada menghidap diabetes?”

Ya dan tidak. Type 2 diabetes boleh dielak dengan pengamalan diet yang betul, kerap melakukan senaman dan hidup yang kurang stres. Meskipun seseorang telah didiagnos menghidapi type 2 diabetes, kadar gula dalam darah masih dapat dikawal dan pesakit boleh meneruskan hidup seperti biasa dengan sedikit pantang larang. Tetapi untuk type 1 diabetes, pakar kesihatan masih lagi mencari puncanya maka ia sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Ia terjadi atas kegagalan sistem imun badan pesakit sendiri dan tidak dapat dikawal oleh doktor. Meskipun begitu, mereka dapat mengawalnya dengan menjaga kesihatan mereka sama seperti pesakit type 2 diabetes.

Secara keseluruhan, diabetes bukan sahaja boleh terjadi daripada konsumsi makanan yang berlebihan dan kurangnya pergerakan, tetapi ia juga boleh terjadi secara semulajadi menerusi sistem imun badan yang berbeza. Perlu diingatkan juga bahawa agak jarang untuk kita menjumpai kanak-kanak atau remaja yang menghidap type 2 diabetes. Apatah lagi pada usia mereka yang muda, mereka memerlukan tenaga yang lebih banyak daripada orang dewasa, bermaksud diet mereka perlu merangkumi jumlah makanan yang lebih banyak untuk membantu tumbesaran mereka. Pada usia mereka, kemungkinan besar mereka menghidap type 1 diabetes dan gaya hidup yang diterapkan oleh ibu bapa mereka adalah bukan puncanya. Oleh itu, seeloknya kita memahami bagaimana diabetes terjadi dan apakah jenis-jenis yang ada untuk mengelak stigma bahawa diabetes hanya boleh terjadi menerusi pemakanan dan kurang senaman. Abnormaliti dalam sistem imun badan turut menjadi punca, meskipun ianya sangat jarang berlaku.

Dapatkan Lebih Perkongsian

woman, senior, portrait-100343.jpg

Alzheimer

“Maklumlah…umur dah makin meningkat…biasalah kalau makin pelupa…,” Kita mungkin acap kali mendengar kenyataan di atas

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

0
    0
    Your Cart
    Your cart is emptyReturn to Shop