MyCoopMed

Vaksin 101

Facebook
Telegram
WhatsApp

Tiada topik yang lebih hangat diperdebatkan sepanjang pandemik ini berbanding perihal pemberian dan penerimaan vaksin COVID-19. Meskipun kita telah memasuki tahun kedua semenjak vaksin COVID-19 diperkenalkan, perbincangan mengenai keberkesanan dan kesan sampingan penerimaannya masih berlangsung sehingga kini. Pelbagai isu yang dibangkitkan mengenai pengambilan vaksin, tidak kurang juga mereka yang menyatakan bahawa vaksin membawa lebih banyak kebaikan daripada keburukan. Semestinya, bagi mereka yang tidak pakar mengenai kelebihan dan risiko yang datang dengan pengambilan vaksin, perbincangan yang berlangsung akan membuatkan mereka dalam dilema. Oleh itu, adalah lebih baik sekiranya kita mengetahui dengan lebih lanjut mengenai vaksin, sejarah pembuatannya dan adakah ia selamat untuk diambil.

Vaksin adalah salah satu bahan perubatan yang mengandungi sel data kepada sesebuah penyakit berjangkit yang kemudiannya dimasukkan ke badan seseorang bagi mencapai imuniti. Dalam erti kata lain, sel sesebuah penyakit yang telah tidak aktif atau mati akan diberi kepada penerima dengan tujuan untuk ‘memperkenalkan’ tubuh badan mereka kepada data penyakit berjangkit tersebut. Antibodi manusia akan mengenal pasti sel tersebut sebagai bahan asing dan akan bertindak untuk ‘memusnahkan’ sel itu. Setelah berjaya ‘dimusnahkan’, antibodi badan akan ‘mengingati’ data daripada sel tersebut dan akan lebih bersedia untuk melawan mana-mana sel asing yang membawa data yang sama.

Untuk pemahaman yang lebih mudah, bayangkan sekiranya anda diajar mengenai jenayah membunuh dan apakah ciri-ciri umum yang ada pada bakal pembunuh. Anda mengetahui bahawa mereka yang mempunyai niat untuk membunuh akan membawa senjata merbahaya yang cuba disorokkan dan sering dilihat memerhati keadaan sekeliling bagi sesebuah tempat (berpotensi menjadi lokasi pembunuhan). Anda terapkan ciri-ciri tersebut dalam ingatan anda supaya anda dapat berjaga-jaga dengan keadaan sekeliling. Pada suatu hari, anda terlihat seseorang sedang memerhatikan rumah anda dan orang itu mempamerkan ciri-ciri yang sama seperti yang anda telah pelajari. Anda bertindak menghubungi pihak polis untuk mendapatkan perlindungan. Penjenayah tersebut dapat diberkas dan diri anda selamat. Seperti mana dalam situasi ini, vaksin adalah ‘ilmu’ yang anda pelajari sementara ‘pembunuh’ adalah penyakit berjangkit tersebut dan ‘pihak polis’ adalah antibodi yang bertindak melindungi anda.

Vaksin bukanlah sebuah penemuan saintifik yang baru. Malah, ianya pertama kali terhasil pada tahun 1798 oleh Edward Jenner bagi menyembuhkan penyakit cacar. Selepas penemuan yang dilakukan beliau, usaha untuk menghasilkan vaksin yang mampu menyembuhkan pelbagai lagi penyakit berjangkit diteruskan. Setakat ini, para pengkaji perubatan telah menjumpai vaksin untuk menyembuhkan penyakit seperti hepatitis B, rubella dan polio. Dunia perubatan moden yang terus berkembang juga memberi impak kepada penghasilan vaksin untuk penyakit tidak berjangkit seperti HPV dan tuberculosis. Penemuan demi penemuan ini memberikan kesan terhadap kadar jangkitan penyakit berjangkit di seluruh dunia di mana ia menunjukkan trend penurunan sekaligus berjaya menghapuskan pelbagai epidemik yang melanda. Lihat sahaja contoh jangkitan polio di negara ini di mana selepas kebanyakan penduduk menerima vaksin polio, jangkitan penyakit tersebut kian berkurang sehingga ianya berakhir sekitar tahun 1992. Kini, dunia perubatan moden juga telah berjaya menghasilkan pelbagai jenis vaksin untuk menangani jangkitan COVID-19 dan meskipun trend jangkitan masih menunjukkan peningkatan, vaksin masih dianggap sebagai penyelesaian yang paling berkesan.

Adakah vaksin selamat untuk diambil?

Persoalan ini sering kali diutarakan pada kebelakangan ini, atau lebih tepat lagi, selepas vaksin untuk COVID-19 terhasil dan pemberian secara besar-besaran dilancarkan. Pengambilan vaksin sudah pun menjadi isu yang hangat diperdebatkan bertahun lamanya, namun ia mencapai satu tahap genting yang baharu setelah pandemik COVID-19 melanda. Ramai yang berada dalam dilema; mereka ingin mengambil vaksin kerana tidak mahu dijangkiti dengan COVID-19, tetapi pada masa yang sama, gentar dengan kesan sampingan yang mungkin terjadi dengan pengambilan vaksin. Khabar angin yang disebarkan terutamanya di platform-platform media sosial juga dilihat lebih memburukkan keadaan. Kenyataan seperti vaksin mampu menyebabkan strok atau pemberian vaksin adalah agenda kerajaan untuk mengintip aktiviti seharian rakyat adalah antara dakyah yang disebarkan. Tidak kurang juga terdapat kenyataan yang melibatkan sentimen keagamaan yang masih mempunyai tujuan yang sama; memastikan orang ramai tidak akan mengambil vaksin tersebut.

Momokan secara terang-terangan ini berjaya membuatkan ramai mengambil keputusan untuk tidak mengambil vaksin atas sebab tidak yakin dengan kesan sampingan yang bakal dihadapi. Ditambah pula dengan keadaan sekeliling yang lebih ingin menyebarkan propaganda tersendiri berbanding membantu dalam mencapai kata putus, tidak hairan ramai yang berasa sangsi dengan pemberian vaksin di negara ini. Penggunaan terma Adverse Events Following Immunisation (AEFI) juga semakin meluas, suatu cubaan untuk memperlihatkan dengan lebih jelas mengenai keburukan kesan sampingan daripada pengambilan vaksin. Semestinya, segala usaha ini membuatkan ramai menolak vaksin atas sebab terpengaruh dengan apa yang mereka dengar daripada apa yang dapat mereka kaji sendiri.

Hakikatnya, tiada apa yang perlu ditakuti dengan pengambilan vaksin dan kesan sampingan yang mungkin berlaku. Kes-kes AEFi sememangnya wujud, namun ia merangkumi peratusan yang kecil berbanding jumlah penerima. Kebanyakan kes AEFI terjadi apabila penyakit sedia ada penerima menolak vaksin tersebut atau tubuh badan penerima alah kepada sebarang bahan dalam vaksin tersebut. Sekiranya anda takut dengan kemungkinan menjadi mangsa AEFi dan sangsi dengan apa vaksin dapat lakukan kepada tubuh anda, sila pastikan anda memberitahu pakar kesihatan mengenai kesangsian anda. Mereka sedia untuk menjawab kemusykilan anda dan akan memberitahu sama ada anda layak atau tidak untuk menerima vaksin. Kejujuran dalam mendedahkan sebarang penyakit yang dihidapi adalah perlu bagi mengelakkan sebarang kes AEFi terjadi dan sememangnya ia memerlukan kerjasama bakal penerima dengan pihak kesihatan.

Vaksin bukanlah penyembuh yang pasti, tetapi ianya adalah antara solusi yang paling berkesan bagi mengawal kadar jangkitan untuk penyakit berjangkit tertentu. Vaksin juga boleh menjadi pencetus idea kepada ubat-ubatan yang lebih menunjukkan kadar kesembuhan yang tinggi dan tidak memberi sebarang kesan sampingan. Segalanya perlukan garis permulaan sebelum dapat dikembangkan menjadi alternatif terbaik yang dapat diterima ramai. Tambahan pula pada era yang serba-serbi mencabar ini, segala ikhtiar harus digerakkan dan digalakkan termasuklah pemberian vaksin ini. Diri anda adalah kunci pergerakan dan penggalakkan tersebut dengan segera mengambil dos vaksin anda di pusat-pusat pemberian vaksin yang telah ditetapkan. Anda adalah pencetus kepada sebarang bentuk perkembangan dunia perubatan moden, menjadikan aset yang sangat bernilai.

Dapatkan Lebih Perkongsian

woman, senior, portrait-100343.jpg

Alzheimer

“Maklumlah…umur dah makin meningkat…biasalah kalau makin pelupa…,” Kita mungkin acap kali mendengar kenyataan di atas

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

0
    0
    Your Cart
    Your cart is emptyReturn to Shop