MyCoopMed

Pemakanan ketika sahur & berbuka

Facebook
Telegram
WhatsApp

Bulan Ramadhan turut menyaksikan perbezaan dari sudut waktu makan bagi orang Islam. Rutin pengambilan makanan harian yang selalunya mungkin 3 kali sehari, berkurangan menjadi dua kali sehari. Bukan itu sahaja, jam apabila makanan diambil juga akan berbeza dari hari-hari biasa. Kita mungkin terbiasa mendengar istilah ‘sarapan, makan tengah hari dan makan malam’ pada bulan-bulan lain tetapi khas pada bulan Ramadhan, muslim akan lebih banyak mendengar istilah ‘sahur dan berbuka’. Dua waktu makan ketika bulan puasa yang jaraknya memakan masa 12-13 jam jika di Malaysia. 

Ianya bukanlah istilah yang begitu asing, apatah lagi dengan populasi penganut agama Islam yang tinggi di negara ini. Ramai antara muslimin dan muslimat juga mengetahui bahawa bersahur dan berbuka adalah perkara sunnah. Jadi, bukan sahaja seorang muslim diberi nikmat makan dan minum setelah seharian berpuasa, tetapi juga diberi pahala apabila melakukan kedua-duanya. Ramai juga tahu bahawa kita digalakkan untuk melambatkan sahur dan mempercepatkan berbuka setelah masuk waktunya, menunjukkan kepada kita yang sememangnya islam menginginkan umatnya untuk melihat ibadah puasa sebagai perkara yang tidak membebankan malahan memberi pelbagai bentuk nikmat yang tidak disangka-sangka.

Namun begitu, tidak semua memandang puasa sebagai ibadah yang mudah. Terdapat juga beberapa golongan yang merasakan 12-13 jam adalah masa yang lama untuk tidak memakan apa-apa tetapi mereka masih ingin menjalankan rukun Islam ketiga ini. Tidak kurang juga ada yang berfikiran bahawa setelah berpuasa hampir seharian, terlalu banyak tenaga telah digunakan dan ianya perlu diganti secara sekaligus. Oleh itu, apa yang mereka lakukan adalah makan secara berlebih-lebihan sama ada ketika bersahur atau berbuka. Sering kali aktiviti ini juga melibatkan makanan-makanan yang berat seperti nasi dan manisan yang mempunyai kandungan gula yang tinggi. Amalan sahur dan berbuka seakan-akan menjadi detik untuk melakukan impulsive eating kerana mereka sama ada perlu ‘bersedia’ menghadapi tempoh berpuasa yang panjang ataupun ‘balas dendam’ kerana telah menahan lapar sepanjang hari.

Mungkin ramai yang menyedari hakikat ini menerusi pengalaman sendiri ketika berpuasa. Makan secara berlebih-lebihan ketika berpuasa tidak mendatangkan apa-apa manfaat kepada tubuh badan. Malahan ia lebih menjadi punca utama kepada tabiat pembaziran makanan ketika bulan Ramadhan. Seperti pepatah yang kita sering dengar; orang tamak selalu rugi; sememangnya sesuai diperkatakan terhadap mereka yang membeli makanan mengikut nafsu ini. Kita harus sedar bahawa tenaga yang telah digunakan sepanjang hari ketika berpuasa tidak boleh diganti secara sekaligus. Tubuh badan kita memerlukan masa untuk menghadam segala makanan yang diambil dan tidak boleh dikejutkan dengan jumlah makanan yang terlampau banyak atau terlalu berat.

Adakah ini bermakna seseorang tidak boleh mengambil makanan berat seperti nasi dan manisan ketika sahur atau berbuka? Bukan itu yang ingin cuba disampaikan. Tiada halangan untuk seseorang memilih memakan nasi atau manisan ketika sahur atau berbuka. Namun kita harus lebih mementingkan pengambilan makanan yang seimbang walaupun kita dalam bulan Ramadhan. Pengambilan karbohidrat seperti nasi dan roti adalah penting bagi memberi tenaga kepada tubuh kita, tetapi pengambilan makanan lain seperti protein dan mineral juga tidak boleh dilupakan. Sebaiknya pastikan setiap elemen piramid makanan wujud dalam setiap hidangan yang diambil serta bagi mengambil kira yang tubuh badan kita hanya boleh menghadam sejumlah makanan pada satu masa tertentu, ianya adalah lebih baik jika saiz hidangan dikecilkan berbanding pengambilan biasa. Badan kita ‘direhatkan’ selama berjam-jam dan menyuruh perut kita ‘bekerja’ pada kadar maksimum pada satu masa akan lebih banyak membawa keburukan daripada kebaikan.

Pakar juga mencadangkan supaya kita mengambil jenis karbohidrat yang lebih kompleks ketika bersahur seperti oat dan beras perang di mana ia menyediakan tenaga yang lebih mampan bagi menjalani ibadah puasa seharian. Anda akan menjadi kurang lapar apabila mengambil karbohidrat jenis ini berbanding karbohidrat biasa. Ini kerana apabila kurangnya pengambilan makanan yang boleh ditukar menjadi tenaga, tubuh badan kita akan membakar karbohidrat dalam badan sebagai pengganti. Karbohidrat biasa lebih mudah dibakar berbanding karbohidrat yang kompleks, menjadikan kita mudah lapar hanya setelah beberapa jam bersahur. Ia termasuk dengan pengambilan makanan manis yang juga lebih mudah dibakar berbanding karbohidrat kompleks. 

Di sini juga penting untuk dinasihatkan kepada semua agar tidak bersahur terlalu awal. Waktu yang sebaiknya adalah 30 hingga 40 minit sebelum masuk waktu solat Subuh. Adakalanya disebabkan kita lebih mengutamakan waktu tidur, kita mengambil keputusan untuk bersahur lebih awal, selalunya pada waktu tengah malam. Makanan yang diambil ketika sahur selalunya adalah makanan yang lebih berat, jadi tidak digalakkan untuk kita terus berbaring dan tidur selepas makan. Namun tabiat bersahur awal adalah kerana kita ingin mendapatkan tidur secukupnya, membuatkan kita akan tidur sebaik sahaja makan. Ini akan menyebabkan acid reflux dengan simptom seperti pedih ulu hati dan mual. Ianya tidaklah begitu serius tetapi ia akan membuatkan anda berasa tidak selesa sepanjang berpuasa.

Ketika berbuka, pengambilan vitamin dan mineral lebih digalakkan diambil terlebih dahulu sebelum sebarang karbohidrat dan manisan. Disebabkan itu, memakan buah kurma adalah antara perkara sunnah yang digalakkan ketika berbuka. Kandungan buah kurma yang tinggi dengan mineral dan serat membuatkan ianya adalah buah yang sesuai untuk mula berbuka puasa bagi mengembalikan tenaga yang telah digunakan. Pengambilan buah-buahan lain juga disyorkan pada awal waktu berbuka kerana ia megandungi gula semulajadi yang dapat memberi tenaga selain dapat menghidratkan badan. Pada ketika ini juga, pengambilan air yang banyak turut digalakkan sebagai cara menghidrat tubuh badan kita yang telah kekurangan air. Namun harus diingatkan bahawa pengambilan air bergula tetap perlu dikurangkan dan pakar lebih menggalakkan meminum air yang mempunyai gula semulajadi seperti jus dan susu yang mengandungi nutrien.

Pada hujung Ramadhan ini, amalan bersahur dan berbuka telah menjadi rutin kita sepanjang beberapa minggu kita berada dalam bulan yang mulia ini. Semestinya mungkin ada di antara kita yang akan berasa sedikit kekok apabila Syawal tiba, waktu di mana segalanya akan kembali pada asalnya. Namun tidak perlu risau kerana artikel ini masih dapat membantu menukar diet anda ketika puasa sekiranya anda ingin melakukan puasa enam atau mungkin puasa ganti dan puasa sunat selepas ini. Ianya juga mungkin dapat membantu anda pada bulan puasa tahun hadapan dan diharapkan ketika itu, kita sama-sama dapat memperbaiki diet ktia ketika bersahur dan berbuka sepanjang Ramadhan.

Akhir kata sempena bulan Syawal yang bakal tiba, kami di sini seikhlas hati ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri 1443 Hijrah. Maaf Zahir dan Batin kepada semua umat Islam di Malaysia, dari kami warga MyCoopMed~~!

Dapatkan Lebih Perkongsian

woman, senior, portrait-100343.jpg

Alzheimer

“Maklumlah…umur dah makin meningkat…biasalah kalau makin pelupa…,” Kita mungkin acap kali mendengar kenyataan di atas

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

0
    0
    Your Cart
    Your cart is emptyReturn to Shop